23 Julai - Petang yang akan sangat ingin dilupakan oleh pasukan Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) bagi pasukan Bawah 13 yang dibelasah oleh pasukan SMK Putera (SSN Kelantan). Keputusan 8 gol tanpa balas menggambarkan cerita pada petang itu di mana pasukan SSN Kelantan tanpa belas kasihan telah melakukan sesuatu yang sangat mengejutkan, bukan sahaja kepada pihak lawan tetapi barisan jurulatih dan para penyokong yang datang menyaksikan perlawanan.
SMK Putera mendahului 3-0 pada separuh masa pertama dan menambah lima lagi gol di babak kedua. Dua gol akhir pula dijaringkan dalam waktu kecederaan. Alif Haikal menjadi wira dengan menjaringkan hattrick, manakala Syafiq Aiman menjaringkan dua gol. Gol-gol lain pula disumbangkan masing-masing oleh Syahid, Nik Anas dan Amirul Izwan. Dengan kemenangan ini, SMK Putera membawa bekal yang selesa untuk bertemu dengan SMK Datuk Peter Mojuntin (SSN Sabah) pada hari Sabtu 27 Julai ini.
Nasib berbeza dialami pasukan Bawah 17 tahun apabila mereka dipaksa berkongsi mata walaupun mendahului dengan jaringan cantik dari sepakan percuma oleh Mohd Syaqimi di separuh masa pertama. Walaubagaimanapun, kedudukan pasukan Bawah 17 tahun kekal dan tidak tergugat di dalam Liga Premier KPM-FAM Tahun 2019.